REFLEKSI
REFLEKSI MINGGU KELIMA
Tugasan minggu kelima mengkehendaki para pelatih untuk membina pakej pembelajaran dan menggunakan tapak dan laman web pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pada saya, pembinaan laman web dan pakej tutorial ini tidak begitu menyukarkan. Hal ini kerana saya telah didedahkan dengan prosedur pembinaan laman web ini sejak alam persekolahan lagi dan saya sudah mempunyai blog peribadi sendiri. Dalam kata lain, saya sudah mempunyai sedikit asas dari segi pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan tugasan ini.
Melalui tugasan ini, banyak perkara dan kemahiran baharu yang saya perolehi dan akan tingkatkan untuk masa akan datang. Mungkin sebelum ini, saya hanya mengetahui bagaimana untuk membina blog peribadi atau membuat persembahan powerpoint untuk pembentangan di kelas sahaja. Namun, di akhir tugasan ini, saya mendapati terdapat perbezaan dalam membina laman web dan pakej pembelajaran ini dari pelbagai aspek. Laman web yang dibina adalah bertujuan untuk perkongsian ilmu dengan rakan dan penggunan internet yang lain. Manakala, pakej pembelajaran yang dihasilkan perlulah dalam bentuk pembelajaran kendiri yang boleh digunakan oleh individu tertentu tanpa pengajaran guru. Oleh itu, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan bagi menjadikan pakej yang dibina itu bersifat pedagogi, berkesan dan boleh meningkatkan penguasaan murid terhadap ilmu yang kita cuba sampaikan.
Perkara tersebut telah menyukarkan saya dalam pembinaan pakej pembelajaran terutama dalam aspek memilih dan merancang aktiviti pembelajaran yang bersesuaian untuk dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran tersebut. Untuk mengatasi kesulitan ini, saya telah melakukan perbincangan dan berkolaborasi dengan rakan-rakan serta pensyarah berkaitan pemilihan tajuk pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang ingin dimasukkan. Hal ini sedikit sebanyak membantu saya melaksanakan dan menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.
Di samping itu, apa yang saya pelajari ialah sesebuah laman web dan pakej pembelajaran yang dibina haruslah dimasukkan unsur yang pelbagai supaya kelihatan menarik. Sebagai contoh ialah penggunaan animasi-animasi bergerak, unsur-unsur bunyi, video dan seumpamanya. Walaubagaimanapun, penggunaan unsur-unsur yang tidak berkaitan haruslah tidak mengganggu fokus murid untuk mengikuti pembelajaran menggunakan pakej pembelajaran ini. Selain itu, reka letak bahan juga merupakan suatu aspek yang perlu ditumpukan dalam pembinaan pakej dan laman web pembelajaran ini. Reka letak yang sesuai bukan sahaja menjadikan sesebuah tapak pembelajaran itu kelihatan sangat menarik, malah akan meningkatkan pemahaman murid. Secara tidak langsung, hal ini memudahkan murid menguasai sesuatu tajuk pembelajaran. Sebaliknya, reka letak yang kurang sesuai akan menyebabkan sesebuah pakej pembelajaran kelihatan semak dan mengganggu ruang serta fokus penglihatan murid. Impaknya, murid tidak dapat memahami dengan baik terhadap tajuk pembelajaran yang disampaikan.
Dalam pada itu, saya menyedari banyak perkara perlu diterapkan ke dalam diri saya dalam memantapkan dan menyediakan diri saya untuk menempuhi dunia perguruan pada masa kelak. Dengan melakukan tugasan ini, saya dapat meningkatkan kemahiran pedagogi dalam proses untuk mencari dan memilih bahan yang sesuai untuk dimuatkan dalam laman web mahupun dijadikan sebagai bahan pengajaran. Dalam erti kata lainnya, pemilihan bahan dalam pakej pembelajaran misalnya, ia hendaklah selaras dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya murid memahami isi yang disampaikan dalam aktiviti pembelajaran tersebut. Malahan, guru juga perlu menggunakan teknik pengajaran yang pelbagai bagi menarik minat murid seterusnya membantu mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Kesimpulannya, sebagai bakal pendidik, saya perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan ilmu dan kemahiran seiring dengan peningkatan ketamadunan masyarakat kini.
