REFLEKSI
REFLEKSI MINGGU KEDUA
Pada minggu kedua ini, tugasan amali yang perlu dilaksanakan ialah mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian di internet. Bahan-bahan yang perlu dicari dan dipilih tersebut adalah dalam berbentuk audio, video, grafik dan teks Seterusnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dikategorikan mengikut tiga kemahiran berbahasa iaitu kemahiran lisan, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis.
Melalui tugasan ini, saya dapat belajar dari segi pemilihan bahan pengajaran yang sesuai untuk membantu meningkatkan kemahiran berbahasa murid. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai merupakan faktor penting dalam membantu sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran mencapai objektifnya. Oleh itu, guru perlu menilai terlebih dahulu fungsi sesuatu bahan pengajaran tersebut sama ada sesuai atau sebaliknya. Bahan yang sesuai di sini ialah bahan yang dapat membantu murid-murid meningkatkan kemahiran berbahasa mereka setelah melalui proses pembelajaran. Misalnya ialah pemilihan bahan teks bagi kemahiran membaca. Bahan teks yang dipilih sewajarnya mempunyai saiz huruf yang mudah dilihat dan penggunaan perkataan yang mudah bersesuaian dengan keupayaan murid. Dengan itu, guru dapat menilai dan meningkatkan kemahiran membaca murid dari segi sebutan dan kelancaran.
Selain itu, apa yang saya perolehi ialah guru perlu mempelbagaikan kaedah dan bahan pengajaran. Kepelbagaian bahan seperti audio, video, grafik dan teks yang telah disediakan membantu merangsang minat murid untuk mengikuti suatu aktiviti pembelajaran dan secara tidak langsung dapat mengelakkan murid daripada berasa bosan.
Segala pengetahuan yang telah saya ketahui ini sudah tentu amat berguna sebagai rujukan pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, bahan-bahan grafik, audio, teks dan video dalam simpanan saya kini akan dapat saya aplikasikan setelah bergelar guru kelak. Ringkasnya, sebagai seorang pendidik, kita haruslah lebih kreatif dan bijak dalam mempelbagaikan penggunaan bahan pengajaran untuk mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif.
