REFLEKSI
REFLEKSI MINGGU KEEMPAT
Sebelum ini kami pernah memilih dan memuat turun pelbagai bahan seperti audio, teks, video dan gambar rajah. Namun, pada minggu ini, kami telah dikehendaki untuk mendapatkan bahan-bahan berkaitan bidang sastera, tatabahasa dan bidang-bidang lain yang boleh dijadikan sebagai bahan penggabungjalinan mata pelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kelak.
Untuk itu, saya telah mencari dan memuat turun bahan-bahan yang diperlukan daripada laman internet. Saya mendapati sesebuah aktiviti pengajaran yang kreatif dan menarik dapat dilaksanakan melalui pengintegrasian bidang-bidang tersebut dengan bahasa Melayu. Pengintegrasian ini saling berkaitan dengan konsep 5P yang terdiri daripada penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pemulihan dan pengayaan. Bertitik tolak dengan konsep 5P, pengabungjalinan dari bidang ilmu yang pelbagai perlu diaplikasikan dalam perancangan pengajaran. Contohnya bagi mata pelajaran Sejarah murid perlu mengenali tokoh atau sejarah negara. Oleh itu teks berkaitan biografi dan sumbangan tokoh boleh dijadikan sebagai bahan pengajaran dengan melakukan aktiviti membaca teks tersebut secara individu atau beramai-ramai. Ini menunjukkan sesuatu bahan pengajaran dan pembelajaran itu tidak semestinya menjurus kepada bidang bahasa Melayu sahaja. Dalam masa yang sama, murid dapat meluaskan pengetahuan mereka di samping merangsang daya fikir secara kritis dan kreatif.
Secara keseluruhannya, guru perlu bijak dalam merancang sesuatu pengajaran dengan mempelbagaikan bahan pengajaran dan pembelajaran melalui konsep penggabungjalinan mata pelajaran dalam Bahasa Melayu. Akhir kata, keterampilan, kewibawaan dan komitmen guru merancang, mengurus, melaksana, menilai dan membuat penambahbaikan dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajarannya merupakan langkah-langkah ke arah kecemerlangan insan.
